![]() |
Sutradara terkenal tanah air, Mamat Khalid bersama syarikat produksi Tayangan Unggul Sdn Bhd mencatat sejarah tersendiri industri perfileman tempatan apabila menghasilkan filem cereka hitam putih dalam era teknologi filem warna kini. Filem berjudul Kala Malam Bulan Mengambang yang menjalani penggambaran pada awal tahun yang lalu menjadi filem pertama seumpamanya sejak kali terakhir filem hitam putih dihasilkan pada sekitar 1970-an.
Filem ini berkisar kepada kisah seorang wartawan bernama Saleh lakonan Rosyam Nor yang baru diberhentikan kerja. Satu kejadian telah membuatkan beliau terpaksa bermalam di sebuah pekan bernama Senduduk Rimbun. Kejadian misteri yang melanda pekan tersebut apabila ramai jejaka yang hilang setiap kali bulan mengambang menarik minat Saleh untuk menyiasat hingga membawa kepada penemuan yang amat mengejutkan.
Filem berlatar belakangkan tahun 1950-an dan bergenre misteri komedi ini turut membariskan barisan pelakon handalan tanah air yang lain seperti Umie Aida, Farid Kamil, Avaa Vanja, Corinne Adrienne, Bront Palarae dan Soffi Jikan.
Sehubungan itu, sebuah majlis tayangan media diadakan pada 27 Disember, di pawagam Golden Screen Cinemas Mid Valley. Majlis tersebut bermula seawal jam 9.30 pagi dengan dihadiri tetamu jemputan yang terdiri daripada penggiat filem tempatan, wartawan dari media cetak dan elektronik, serta tenaga produksi filem tersebut.
Mamat Khalid dalam ucapan aluannya mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh syarikat produksi Tayangan Unggul Sdn Bhd atas kepercayaan yang diberikan untuk mengarahkan filem hitam putih. Ujarnya lagi, dalam situasi pasaran filem sekarang, sukar bagi penerbit filem untuk memberi peluang kepada pengarah untuk bereksperimen dan mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain dalam penerbitan filem.
Penerbit Eksekutif Kanan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai pula dalam ucapannya menegaskan bahawa seluruh tenaga produksi telah bekerja keras untuk menghasilkan yang terbaik di dalam filem ini. Justeru itu, penonton tidak wajar untuk melepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam apabila ditayangkan kelak.
“Oleh kerana filem ini dalam hitam putih, setiap tenaga produksi terutamanya pengarah sinematografi dan pengarahan seni terpaksa bekerja keras dua kali ganda dalam produksi ini bagi memastikan visual sentiasa kelihatan menarik. Saya secara peribadi merasakan hasil kerja mereka ini di luar jangkaan dan menakjubkan,” ujar beliau.
Satu sessi soal jawab antara para wakil media massa dengan tenaga produksi dan artis terlibat diadakan sebaik selepas tayangan filem tersebut berakhir. Dalam sidang media tersebut, Mamat Khalid sekali lagi memaklumkan bahawa filem ini adalah salah satu usahanya dalam menghargai para penggiat filem veteran dari zaman Studio Jalan Ampas hingga Studio Merdeka. “Tanpa mereka semua, tidak mungkin para penggiat filem hari ini dapat meneruskan perjuangan dalam dunia perfileman ini. Kita perlu menoleh ke belakang untuk melakar masa depan yang lebih baik,” tambahnya lagi,
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 10 Januari 2008.