![]() |
INTAN LADYANA MOHAMAT YAHAYA merupakan nama baru dalam industri perfileman negara. Wajahnya selalu muncul dalam iklan di TV seperti iklan Nivea Skin Care, Sunsilk, Mc Donald, yang terbaru iklan Hotlink dan banyak lagi. Intan juga pernah menjadi pengacara untuk program Hello Minda (TV1). Namun tidak ramai yang mengenalinya sehinggalah dia berlakon dalam filem Tipah Tertipu The Movie bersama Ruffedge iaitu filem terbitan Excellent Picture Sdn. Bhd.
Tipah Tertipu The Movie telah menaikkan namanya apabila dia mula dikenali ramai dan ini telah memberi peluang kepadanya untuk terus berada dalam bidang lakonan. Intan menjelaskan dia perlu menunjukkan bakatnya dan akan sentiasa memperbaiki kelemahanya serta perlu bekerja keras dalam memantapkan kerjaya dan seterusnya mengekalkan pembabitannya dalam dunia lakonan. Ini sangat berbeza dengan bidang iklan yang telah lama diceburinya. Ketika ditanya tentang pengalaman berlakon filem dan iklan TV dia merasakan terdapat perbezaannya kerana berlakon filem mengambil masa yang agak lama semasa sesi penggambaran jika dibandingkan dengan berlakon iklan.
Tentang pengalaman berlakon Tipah Tertipu The Movie, dia menjelaskan Ahmad Idham yang merupakan pengarah muda telah banyak memberinya tunjuk ajar dalam memantapkan lakonanya dan dia sememangnya berminat untuk terus serius dalam bidang ini pada masa hadapan. “Jika tidak terlibat dalam bidang lakonan kemungkinan saya akan bekerja di dalam bidang undang-undang kerana itu adalah minat saya”, katanya ketika ditanya bidang kerjaya yang akan diceburi jika tidak menjadi pelakon. Namun begitu dia tidak terkilan apabila tidak sempat menghabiskan pengajiannya dalam bidang perundangan tersebut.
Menceritakan tentang gosip, Intan menjelaskan bahawa gosip adalah lumrah kehidupan yang perlu dihadapi. “Bidang modelling akan tetap diteruskan juga walaupun telah mula meminati bidang lakonan kerana bidang tersebut adalah titik permulaan memperkenalkan saya dalam bidang perfileman”, tambah Intan Ladyana ketika mengakhiri perbualan.
Artikel Terkini