![]() |
| Fasha Sandha |
Pertama kali mendekati gadis berusia 23 tahun ini, terasa teruja untuk mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Berbekalkan wajah yang cantik, pandai bergaya, popular, bijak dalam mengutarakan pendapatnya, peramah serta sikap merendah diri, dia disenangi oleh semua pihak. Begitulah Fasha Sandha, seorang bintang yang sedang meningkat naik dan mengukir nama, setanding dengan pelakon pelakon handalan yang lain.
Anak kedua daripada empat orang adik beradik ini mula dikenali pada tahun 2002 apabila melibatkan diri dalam bidang periklanan dan dunia peragawati pada usia yang begitu muda, iaitu semasa berusia 15 tahun. Walaupun Fasha telah mula sibuk dengan kerjayanya, dia berjaya menyambung pengajiannya di Institut Kebudayaan Belia Negara.
Langkah Fasha melibatkan diri dalam bidang seni lakon bermula apabila percubaannya untuk menjadi pelakon pembantu dalam filem "Black Maria" pada tahun 2003 berjaya. Ini telah mengubah minatnya daripada dunia periklanan kepada dunia lakonan. Bertitik tolak daripada pengalaman itulah, Fasha menjadikan kerjaya pelakon sebagai kerjaya tetapnya dan begitu serius dalam membina nama sebagai pelakon yang hebat.
Tawaran berlakon datang mencurah-curah, bukan sahaja untuk filem, malah untuk berlakon dalam drama. Dalam tempoh empat tahun, Fasha telah membintangi lebih daripada 14 buah filem dan sembilan buah drama. Drama yang benar-benar meninggalkan kesan di hati penonton adalah melalui wataknya sebagai perempuan malang dalam drama "Natasha."
“Semua watak atau peranan yang diberikan kepada Fasha tidak kiralah dalam filem ataupun drama, akan Fasha lakukan yang terbaik. Setiap watak berbeza dan mempunyai cabarannya yang tersendiri tetapi Fasha akan selalu buat homework terlebih dahulu terhadap watak-watak tersebut. Bagi Fasha, watak Natasha merupakan watak yang paling susah untuk dihayati,” ujur Fasha.
Watak yang paling sukar untuk dibawanya ialah watak Amira Atikah dalam filem "Anak Halal" terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd.
“Watak Fasha adalah seorang gadis sosial yang mempunyai masalah dengan penagihan dadah. Fasha kena belajar mengenal beberapa jenis dadah dan berlatih hampir sebulan hanya untuk mendalami karakter tersebut. Alhamdulillah, Fasha mendapat respons yang positif daripada pengarah Osman Ali apabila berjaya melakukannya,” katanya.
![]() | Fasha Sandha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha binti Hassan dilahirkan pada 28 Mac 1984 di Johor Bahru. Fasha di besarkan di utara Semenanjung, iaitu di Pulau Pinang dan Perlis kerana mengikuti keluarganya. |
Bagi Fasha, universitinya ialah lokasi penggambaran kerana di situlah dia menimba ilmu dan memperkembangkan bakatnya di bawah asuhan pengarah-pengarah ternama seperti Khabir Bhatia, Bade Hj. Azmi, Aziz M. Osman, Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Osman Ali, Zek Zukry, dan Sandosh Kesavan. Selain itu, gandingannya bersama pasangan hero di layar perak seperti Rosyam Nor, Saiful Apek, Pierre Andre, Yusry dan Fahrin Ahmad memberi pengalaman yang berharga dan tidak dapat ditimba di mana-mana.
Fasha begitu berhati-hati dalam memilih karakter untuk filem-filemnya. Walaupun begitu, sebagai anak seni, dia tidak dapat lari daripada berita-berita sensasi dalam kerjaya lakonannya. Yang terbaru ialah watak undangan dalam sebuah filem Indonesia yang bertajuk "Badai Pasti Berlalu." Kontroversi terhadap wataknya telah menimbulkan rasa tidak puas hati kepada para peminat dan para karyawan tempatan.
Dia hanya berlakon dalam satu babak yang dikategorikan sebagai pelakon tempelan dalam filem tersebut. Fasha mengambil tindakan mengunci mulut kerana baginya kontroversi itu sengaja diperbesar-besar. Dan dia juga yakin peminatnya bijak menilai kerjanya.
Bakatnya telah mendapat pengiktirafan apabila dia memenangi anugerah Pelakon TV Wanita popular ABPBH 2005 dan 2006. Ini ditambah pula dengan kemanisan memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2006. “Fasha tidak sangka boleh menang. Memang terkejut sangat-sangat. Alhamdulillah, ini semua kerana sokongan para peminat yang tak henti-henti menyokong kerjaya Fasha selama ini. Tanpa peminat, Fasha mungkin tak kan berada tempat sekarang,” ujarnya dengan penuh rendah diri.
Fasha kini sibuk menjalani penggambaran filem terbarunya iaitu "Evolusi KL Drift" arahan Mohd Syamsul Yusof, seorang pengarah baru. Filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, milik Datuk Yusof Haslam ini memaparkan kehidupan remaja yang terlibat dalam dunia kereta atau pemotoran yang sedang mencari hala tuju dalam hidup mereka.
Untuk tahun ini sahaja, filemnya akan ditayangkan di pawagam, Antaranya ialah "Anak Halal", "Skrip 7707", "Nana Tanjung 2" dan "9 September", “Jangan lupa ke panggung untuk menyaksikan filem lakonan Fasha!” pesan Fasha.
Artikel Terkini