![]() |
Pada hari ini, telah diadakan majlis pelancaran untuk muzik video filem ‘Estet,’ sebuah filem terbitan Naga VXS Sdn Bhd, juga buku untuk filem yang diterbitkan oleh Matahari Publication.
Muzik video yang dihasilkan dari dua buah lagu tema filem ‘Estet’ iaitu ‘Ayuh Kawan’ dan ‘Cahaya Kemenangan’ adalah bertujuan untuk dijadikan medium promosi awal bagi filem ini sebelum ditayangkan di pawagam.
Dengan mendapat sentuhan dari pengarah, Mamat Khalid, serta kolabrasi dengan R. Lawrence, seorang komposer muzik aliran Tamil yang cukup disegani, maka terhasilah karya yang pasti diingati. Ditambah pula, penyanyi rock popular tanahair, Awie, serta Siva, berpadu suara dalam ‘Ayuh Kawan,’ memberikan impak yang berkesan.
‘Ayuh Kawan,’ adalah sebuah karya yang penuh dengan kelainan. Ianya sebuah karya gabungan antara nyanyian juga tarian yang cukup memukau, sesuatu yang unik, ditambah pula dengan gabungan dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Tamil.
Selain itu, karya ‘Cahaya Kemenangan’ juga diberi sentuhan yang cukup mengasyikkan oleh R. Lawrence dan senikata oleh Iqbal Putra dan didendangkan oleh Sunganya dan Razif Rashid, bakal menyentuh perasaan dengan alunan melodi dan lirik tersendiri.
Muzik video untuk kedua-dua lagu ini, ‘Cahaya Kemenangan’ dan ‘Ayuh Kawan,’ telah diarahkan oleh Mamat Khalid, bertempat di Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh, Selangor. Selain itu, gerak tari yang hebat dalam muzik video ini telah mendapat sentuhan Ruben Nair, seorang pereka tari juga penyelaras aksi lasak untuk filem ‘Estet.’
Bermula dari detik ini, muzik video juga lagu ‘Ayuh Kawan’ dan ‘Cahaya Kemenangan’ bakal ditayang di stesen televisyen juga diputarkan di stesen radio.
![]() |
Bagi Matahari Publication pula, penghasilan buku untuk filem ‘Estet’ ini mampu memberi maklumat kepada peminat-peminat juga orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut bagaimana sesebuah filem dihasilkan.
Dengan itu, diharap, lagu-lagu ini akan mendapat sambutan orang ramai. Mungkin dengan bantuan promosi dari pihak media, orang ramai mampu menyanyi bersama-sama ketika filem ini ditayangkan nanti.
![]() |
Majlis pelancaran ini telah mendapat kerjasama dari Istana Budaya, Special Appearance Sdn Bhd, Coffea Omega (M) Sdn Bhd, Digilogic Sdn Bhd dan Yang Mulia Raja Azmi.
Naga VXS Sdn Bhd telah ditubuhkan semenjak tahun 2004. Ianya diterajui oleh Mamat Khalid, selaku Pengarah Urusan dan Norhazifa Mohamed (Kak Jib), selaku Penerbit Eksekutif.
Setakat ini telah terlibat dalam penghasilan pelbagai penerbitan drama, telemovie, promo, iklan, video korporat, dokumentari dan sebagainya. ‘Estet’ merupakan filem pertama yang diterbitkan oleh syarikat ini, manakala ‘Zombie Kilang Biskut’ merupakan filem kedua yang akan dihasilkan pada awal 2010. Selain itu, pada pertengahan tahun 2010, ‘Estet’ bakal dipentaskan di Istana Budaya.