![]() |
| David Teo Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group, USJ |
David Teo merupakan penerbit bukan Melayu yang mewarnai industri perfileman tanah air yang cukup dikenali. Pemegang Ijazah Sarjana daripada University Honolulu, Hawaii ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group Malaysia yang mula menceburi bidang penerbitan filem sejak tahun 2000. Metrowealth Movies Production telah menerbitkan 23 filem termasuk mengedarkan sebuah filem dari Indonesia berjudul "Kiamat Sudah Dekat". Ikuti wawancara Sinema Malaysia bersama beliau di Bangunan Metrowealth No. 2 Jalan USJ 1/1C, Rengalia Business Centre, Subang Jaya.
SINEMA MALAYSIA (SM) : Sejak bila En. David mula berkecimpung dalam bidang perfileman? Kenapa memilih bidang ini sedang risikonya adalah tinggi?
DT: Saya mula menceburi bidang perfileman pada Januari 2000. Sebab utama saya memilih bidang ini semata-mata kerana perniagaan sahaja, bukan minat atau suka-suka. Terus terang saya katakan, saya langsung tidak minat dengan dunia hiburan. Kalau saya baca surat khabar, segmen saya, bukan hiburan. Saya telah diperkenalkan oleh seseorang yang memberi cadangan kepada saya untuk menceburi perniagaan dalam bidang ini yang menjanjikan keuntungan yang banyak.
Pada masa itu, filem "Sembilu" mendapat pulangan yang agak banyak dan ini telah menarik perhatian saya. Saya pun mengambil inisiatif dan membentangkan cadangan kepada ahli-ahli perbadanan dan mereka cadangkan menerbitkan filem yang berbeza daripada filem yang ada pada masa itu, iaitu menjurus kepada genre filem masyarakat. Secara kebetulan, saya berjumpa dengan Farihin, yang pada masa itu menguruskan kumpulan nasyid Raihan. Beliau telah mencadangkan kepada saya untuk menerbitkan filem berunsurkan agama Islam kerana ia ada nilai kepeda masyarakat.
Memendangkan perniagaan saya sebelum ini tertumpu kepada bidang elektrikal dan barang kelengkapan perumahan seperti India, China, Thailand, Sri Lanka dan Korea, adalah sukar untuk saya meyakinkan ahli-ahli perbadanan. Akhirnya filem "Syukur 21" berjaya diterbitkan sebagai satu langkah percubaan.
Syarikat mengalami kerugian setelah tiga filem diterbitkan, "Syukur 21" rugi RM 2.8 juta, "No Problem", RM 200 ribu, dan "Mendam Berahi", RM 700 ribu. Dalam bidang perniagaan, kalau dah tiga kali rugi, maknanya kita tak yakin berjaya dalam perniagaan kita. Ramai orang kata saya tidak boleh survive dalam industri filem kerana ini merupakan pelaburan yang banyak dan ramai yang takut untuk meneruskannya jika mereka berada di tempat saya. Tetapi saya teruskan juga dan bagi memastikan saya tidak terus rugi, saya terlibat secara langsung dengan turun padang.
Kalau ikutkan pengalaman, memang saya tiada pengalaman tetapi saya perlu meneruskannya untuk memastikan modal ada dan cukup untuk bertahan. Filem kempat, "Mami Jarum" mendapat bantahan kerana mereka tidak mahu mengambil risiko lagi. Saya tetap berkeras untuk menerbitkan filem tersebut dan meyakinkan mereka bahawa filem berkenaan akan mendapat sambutan jika mereka memberi peluang kepada saya.
Prinsip saya ialah kenapa perlu ada penyesalan setelah keputusan dibuat? Apa yang penting saya akan pastikan macam mana nak menjadikan kerugian itu keuntungan. Saya amat bersyukur dengan keputusan ahli perbadanan dan kutipan untuk filem "Mami Jarum" menampakkan perbezaan dan jauh lebih tinggi berbanding ketiga-tiga filem sebelumnya.
SM : Kebanyakan penerbit di Malaysia majoritinya ialah Melayu, sedangkan En. David bukan Melayu, tetapi menerbitkan filem Melayu. Kenapa?
DT : Bagi saya, itu tidak menjadi masalah kerana filem Malaysia seharusnya menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan. Bukankah bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan Malaysia? Bahasa Melayu mewakili negara dan melambangkan masyarakat Malaysia dan penonton filem majoritinya berbangsa Melayu. Kalau filem itu baik dan bagus, saya pasti kaum minoriti yang lain akan menonton filem tersebut. Saya tak nampak cara yang saya perlu sesuaikan dengan selera golongan minoriti. Saya tegaskan di sini bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan ia mewakili seluruh masyarakat Malaysia.
SM : Sehingga kini beberapa buah filem yang telah diterbitkan dan filem manakah yang mendapat kutipan yang tertinggi?
DT : Semuanya ada 23 buah filem. Buat masa sekarang ini, filem "Jangan Pandang Belakang" iaitu filem ke-21, telah mencatatkan rating dan kutipan tertinggi. Walaupun begitu, masih ada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan ranting ini. Saya sendiri pun tidak percaya dengan kutipan ini kerana belum pernah filem Melayu mendapat kutipan sebegini.
SM : Apakah rahsianya sehingga filem ini mendapat sambutan hangat bukan hanya di Malaysia, tetapi di Singapura dan Brunei?
DT : Sebelum saya mengeluarkan sesebuah filem, saya telah menjalankan R&D [Penyelidikan dan Pembangunan]. Melalui pengalaman saya dengan pihak pengedar Hollywood, mereka selalunya akan menghantar lebih daripada satu salinan filem untuk setiap panggung. Bagi filem "Jangan Pandang Belakang" saya telah mencetak 55 salinan untuk dihantar ke-51 buah panggung. Oleh yang demikian, ada panggung yang akan menerima dua salinan.
Selalunya, ramai penerbit filem memilih tempat tayangan dan ini merugikan mereka kerana jika panggung kosong, kos untuk filem perlu dibayar. Berdasarkan penyelidikan yang saya buat, saya telah menayangkan treler filem "Jangan Pandang Belakang" empat bulan sebelum tarikh tayangan, iaitu bermula dari bulan Disember 2006 sehingga April 2007. Ini merupakan respons daripada penonton adalah sangat baik.
Oleh sebab itulah, saya berani untuk menayangkan filem ini. Akibat daripada permintaan penonton, ada panggung meminta saya untuk menambahkan jumlah salinan filem. Ini termasuklah pengusaha Independent Film yang telah membayar dengan kadar paling minimum untuk dapat guarantee daripada pemilik panggung. Ini berlaku kerana ada sesetengah tempat atau kawasan tidak sesuai untuk tayangan filem ini, jadi mereka perlu melihat kesesuaian lokasi.
Perkara yang menggembirakan saya ialah apabila treler ini ditayangkan, ada penonton sudah bertanya mengenainya. Ini merupakan respon positif. Itulah pentingnya membuat kajian; sebab itulah filem mereka tidak mendapat sambutan. Kajian yang saya buat adalah menyeluruh termasuklah cara pemasaran, pemilihan artis dan sebagainya. Bahasa Melayu tidak menjadi masalah. Cuma yang pentingnya ialah jalan cerita perlu menarik dan bagus.
SM : Filem "Jangan Pandang Belakang" membariskan pelakon yang tidak ternama. En. David Begitu berani mempertaruhkan filem ini. Kenapa?
DT : Telah saya tegaskan sebelum ini, apa yang penting ialah jalan cerita yang bagus. Saya sudah pergi ke negara-negara seperti China, Taiwan, Thailand, Iran dan lain-lain, dan mereka tidak menggunakan pelakon popular tetapi filem mereka mendapat sambutan. Mereka tidak mementingkan populariti pelakon tetapi jalan cerita dan penggunaan teknikal. Teknikal ini melibatkan penggunaan Dolby Digital, sinematografi yang sesuai dan props yang natural. Saya rasa perkara inilah yang berjaya menarik minat penonton. Lagipun, apa salahnya kita memberi peluang kepada pelakon-pelakon ini yang dianggap sebagai pelapis dan generasi baru. Bagi saya, mereka ini boleh dikembangkan lagi dengan adanya bimbingan orang lama seperti saya. Gabungan lama dan baru dari segi idea dan pengurusan akan menghasilkan sesebuah filem yang baik.
Dulu saya memikirkan keuntungan dan asalkan penonton suka. Tetapi, pada masa sekarang lebih menekankan kualiti dalam pembikinan tetapi masih mengikut kehendak pengguna. Kualiti pembikinan ini membolehkan kita lead the industry dan memberitahu orang luar industri perfileman ini mempunyai harapan. Jika tiada orang yang mengetahui, hanya mengharapkan keuntungan, kekayaan dan glamor semata-mata, maka susahlah.
Setiap penggiat industri haruslah bersungguh-sungguh, barulah boleh berjaya. Bak kata pepatah, ‘kalau tak dipecahkan ruyung, mana dapat sagunya’. Kita sudah tidak boleh ikut trend. Kalau orang buat filem komedi, kita pun buat filem komedi. Kalau orang buat cerita seram, kita pun sama buat cerita seram. Macam mana industri nak maju? Saya masih teringat lagi kata-kata Menteri KEKKWA, YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim semasa mula-mula dia menjadi menteri KEKKWA. Dia kata, kita tidak boleh hanya buat filem tetapi kena jadikannya sebagai sesebuah industri. Ini merupakan satu petunjuk yang baik bahawa kerajaan telah melihat filem kita boleh dibawa keluar sebagai cara mempromosikan Malaysia.
![]() |
SM : Boleh ceritakan projek terbaru Metroealth Movies?
DT : Buat masa sekarang, kita dah ada dua buah filem untuk ditayangkan. Tajuknya "9 September" dan "BS-21" atau Brainscan. Filem "9 September" akan ditayangkan pada hari raya tahun ini, iaitu dalam bulan Oktober. Pelakonnya ialah Pierre Andre dan Fasha Sandha dan ini adalah arahan Pierre yang pertama. "BS-21" pula merupakan filem komedi dan melibatkan penggunaan CGI selam 30 minit sahaja. Yang terbaru ialah filem seram bertajuk "Congkak" arahan Ahmad Idham.
SM : Mengenai Pierre Andre. En. David begitu percaya kepadanya untuk mengarahkan filem bertajuk 9 September. Kenapa?
DT : Dalam sesebuah industri, kita seharusnya memiliki pelapis yang akan menggantikan kita, generasi lama ini. Bagi saya, Piere ada bakat yang perlu dikembangkan lagi. Beliau sudah pun menulis skrip dan sambutan terhadap skripnya begitu memberangsangkan. Bimbingan yang baik akan menambahkan pengalaman beliau. Pengalaman yang ada semasa berlakon boleh digunakan oleh beliau untuk mengarah filem. Apa yang penting ialah dia mahu belajar dan bersungguh-sungguh dalam industri ini. Kepercayaan saya telah dibuktikan apabila saya melihat sendiri final mix filem "9 September" dan saya berpuas hati dengan hasilnya.
SM : Apakah harapan anda kepada industri perfileman Malaysia hari ini dan masa hadapan?
DT : Saya mengharapkan industri perfileman di Malaysia akan lebih terus maju dan standing dengan industri perfileman negara luar, menghasilkan filem-filem yang bermutu dari segi jalan cerita dan teknik. Lupakan dan hindari suka bercerita tentang filem orang lain dan memberi impak yang negatif. Maksud saya di sini, kurangkan bercakap banyak dan lebihkan produktiviti. Mereka yang berada dalam industri kita boleh membangun tanpa ada kekangan yang negatif daripada anasir yang tidak baik.
Bagi generasi baru dalam industri ini, saya mengharapkan anda semua berusaha bersungguh-sungguh dan tahu bagaimana untuk menonjolkan diri kepada orang luar bahawa diri sendiri ada bakat dan kemampuan. Tingkatkan keyakinan diri dan tak perlu melihat kepada prinsip lama yang memerlukan ilmu atau sijil yang tinggi baru ingin mencuba. Sekiranya bakat sudah ada, teruskan dan tidak perlu takut untuk mencuba.