![]() |
| Filem Lakonan Versatil Rusdi |
Selepas memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-20 pada tahun lepas, beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Popular dalam Anugarah Bintang Popular, anjuran Berita Harian di Arena of Stars, Genting Highlands. Ini menunjukkan bahawa beliaulah yang terbaik dan menjadi pilihan peminat.
Rusdi Ramli bukanlah nama asing dalam industri perfileman di Malaysia. Beliau sememangnya agak pemalu dalam kehidupan sehariannya. Diam tak diam, sudah hampir 20 tahun beliau berkecimpung dalam bidang lakonan sejak tahun 1991 dan sering diberi peluang berlakon dalam drama-drama televisyen tempatan dan filem-filem yang hebat. Ini ditambah pula dengan personalitinya yang jarang dikaitkan dengan sebarang gosip liar biarpun memegang status bapa tunggal.
Rusdi Ramli sememangnya mempunyai darah seni yang diwarisi daripada ibunya, iaitu pelakon komedi Norlia Ghani yang sehingga hari ini masih aktif dalam bidang lakonan. Dikenali sebagai seorang pelakon versatile, Rusdi memulakan kariernya sebagai pelakon drama televisyen.
Beliau mengakui pada awal berlakon beliau menghadapi kesukaran sehinggakan pernah dimarahi dan dibaling skrip oleh pengarah. Antara kata yang dilontarkan kepada beliau: ‘berlakon macam kayu’, “tidak perlu datang ke lokasi lagi” dan macam-macam lagi. Tetapi itu semua merupakan cabaran dan meningkatkan lagi semangatnya untuk menjadi yang terbaik.
“Pada asalnya, saya langsung tidak berminat untuk menjadi seorang pelakon kerana dari kecil lagi saya melihat mak saya bekerja tidak ikut masa. Sindiran rakan-rakan di sekolah membuatkan saya malu dan bidang lakonan adalah bidang yang tidak akan saya ceburi.
“Tetapi, semakin meningkat dewasa, saya pernah cuba berlakon dalam beberapa buah drama dan tidak mengangap ia sebagai satu kerjaya. Semuanya berubah pada tahun 1991 apabila saya perlu menyara anak saya dan dapati pendapatan daripada berlakon adalah stabil dan boleh tahan,” katanya.
Kemenangannya menggondol Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-20, langsung tidak disangka olehnya.
“Saya memang tak menjangka saya akan menang dan tidak menaruh apa-apa harapan pun. Tahun-tahun sebelumnya pun saya menerima pencalonan dan tak menang tetapi alhamdulilah kalau dah dicalonkan pun kiranya dah baguslah. Ingatkan macam tahun-tahun sebelumnya. Memang tidak sangka saya dipilih untuk memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik,” kata Rusdi.
Lakonannya dalam filem bermula sebagai pelakon pembantu dalam filem Leftenan Adnan dan namanya terus melonjak apabila diterima berlakon dalam filem sequel Pontianak Harum Sundal Malam 2. Pemilihannya dalam PHSM2 dianggap tidak tepat dan ramai yang tidak nampak kebolehannya. Tetapi watak yang diberikan kepadanya dibawa dengan baik sekali dan membolehkan beliau diberi peluang oleh Shuhaimi Baba, untuk terus berlakon dalam filem-filem arahannya selepas itu.
Wataknya sebagai Ariana, lelaki lembut atau mak nyah dalam filem Waris Jaris Hantu sememangnya membawa tuah kepada beliau sehingga memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, mengalahkan pelakon-pelakon hebat yang lain seperti Rosyam Nor dan Afdlin Shauki. Secara langsung ini membuktikan bahawa beliau sebaris dengan artis-artis lelaki terbaik negara.
“Saya berterima kasih kepada beliau (Shuhaimi) kerana memberikan saya peluang itu. Ini kerana, selama ini orang anggap pelakon drama TV seperti saya jarang mendapat peluang berlakon filem kerana lebih banyak pendedahan di kaca TV. Itu formula dulu.
![]() |
“Sekarang ini sudah tidak relevan lagi kerana penonton lebih mengutamakan jalan cerita dan bukannya pelakon. Tetapi sampai sekarang saya tidak tahu kenapa Shuhaimi ambil saya berlakon dalam filem arahannya. Saya pun segan nak tanya,” katanya.
Sebelum memegang watak Ariana, beliau sebelum ini pernah memegang watak lelaki lembut dalam drama televisyen tetapi tidak mengenakan pakaian wanita.
“Saya telah menolak lamaran Shuhaimi sebanyak lima kali untuk watak Ariana kerana tentangan daripada anak saya, Efie. Saya memahami perasaan anak saya yang takut diejek oleh rakan-rakan sekolahnya kerana saya sendiri pernah mengalaminya.
“Dulu saya diejek rakan-rakan sebaya dengan panggilan Joyah gara-gara lakonan ibu saya (Norlia Ghani) dalam drama bersiri Opah. Saya tidak dapat lupakan apabila satu bas sekolah menjerit nama Joyah ketika mereka lalu di depan saya. Ketika itu rasa malu juga. Sebab itu, saya menolak tawaran Shuhaimi berkali-kali kerana bimbang perkara yang sama akan berlaku pada Efie jika saya berlakon watak mak nyah,” jelas Rusdi.
Begitupun, memandangkan filem Waris Jari Hantu ini merupakan sebuah filem yang serius dan latar ceritanya begitu menarik, iaitu mengenai warisan saka, Rusdi berbincang dengan anaknya dan akhirnya persetujuan dicapai. “Dan saya menerima pelawaan Shuhaimi,” kata Rusdi.
Bagi menjayakan dan menjiwai watak Ari atau Ariana dalam flem Waris Jari Hantu, Rusdi telah berlatih hampir dua bulan. Rusdi mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada wakil pemasaran Pesona Pictures, Dara Raziana Othman untuk tampil dengan gaya lembut. “Saya banyak memerhatikan dia untuk mendapatkan mood dalam situasi begitu,” katanya.
Sewaktu penggambaran Waris Jari Hantu Rusdi terpaksa menahan perasaan malu yang teramat sewaktu melakonkan watak beliau di khalayak ramai. “Pertama kali membawakan watak Ariana, penggambaran dilakukan di kawasan Bukit Bintang pada hari Sabtu pukul tiga petang. Malu tak payah nak cakap la,” katanya tersenyum.
Rusdi menambah, perkara yang paling tidak digemarinya sewaktu membawa watak Ariana ialah ‘menadah’ wajahnya hampir dua jam untuk disolek. “Eh! Macam mana orang perempuan boleh tahan bersolek lama-lama. Saya pakai rambut palsu untuk penggambaran pun rasa dah rimas dan gatal. Ini nak pakai seharian memang seksa,” katanya.
Tentang cabaran yang bakal dihadapi apabila pelakon baru akan menggantikan artis lama, beliau berkata, “Bagi saya, lebih ramai hero yang dilahirkan menerusi festival filem lebih bagus. Ini kerana, penerbit dan pengarah filem tentunya akan mempunyai lebih banyak pilihan. Saya tidak setuju apabila orang guna istilah ‘pengganti’ dalam melahirkan pelakon baru. Istilah ‘pengganti’ buat pelakon-pelakon baru sudah tidak sesuai.”
Kepada pelakon-pelakon baru yang teringin menggenggam anugerah Pelakon Terbaik, Rusdi merendah diri untuk menghulurkan nasihatnya: “Maaf, saya ni kurang pandai memberi nasihat. Lagipun siapalah saya untuk memberi nasihat. Apa yang saya boleh berikan ialah kita kena sentiasa belajar daripada sesiapa juga.
“Bagi saya, semua orang adalah guru. Contohnya saya belajar guna perkataan ‘kepit’ yang dituturkan oleh watak mak nyah yang saya lakonkan dalam Waris Jari Hantu daripada seorang krew filem itu. Ternyata idea krew banyak membantu saya menghidupkan watak tersebut.”
![]() |
Rusdi Ramli
Waris Jari Hantu
Pontianak Harum Sundal Malam 2
Datuk Paduka Shuhaimi Baba
Artikel Terkini