![]() |
Sejak berusia tujuh tahun lagi, wajah comelnya sudah dipilih mengisi layar TV melalui slot iklan komersial bersama ayahnya, Ngasri Sain. Kala itu, sebagai anak kecil tentunya silauan lampu dan lensa kamera bukan sesuatu yang dimengerti tujuannya melainkan melakukan sesuatu hanya akur mengikut arahan ayah. “Bell tak tahu langsung bahawa ketika disuruh ayah melakukan sesuatu ia sebenarnya satu lakonan. Bell membuat apa yang disuruh ayah sahaja.” kenang Nasrizal Ngasri sewaktu ditemui pada majlis perkahwinan adiknya, Nasreen atau lebih dikenali dengan nama Darling, baru-baru ini. Nasrizal yang juga lebih popular dengan nama Bell, anak ketiga dari enam beradik hasil perkongsian hidup antara Ngasri Sain dan isteri, Habibah Jaafar sesungguhnya lahir dari keluarga berjiwa seni.
Maka benar kata pepatah, ‘ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi’ dan keluarga Ngasri Sain membuktikannya. Walaupun Ngasri tidak terlibat seratus peratus dalam dunia lakonan tetapi lebih tertumpu dalam dunia penyiaran, kesemua anak-anaknya, iaitu Nasliza, 36; Naszeli, 35; Nasrizal, 29; Nasreen, 26, Naszriah atau Anne, 25 dan Nassuhada, 15, telah mengenali dunia lakonan sejak di bangku sekolah. Apakah itu kemahuan anak-anak ataupun kehendak ibu bapa yang mencorakkan hala tuju anak-anak? Ketika persoalan ini ditujukan kepada Bell selaku anak yang masih aktif berlakon mendahului adik-adiknya, katanya jujur “Sebenarnya ibu yang paksa” diikuti ketawa kecil. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan kala mendengar jawapan ringkas Bell itu. Sesungguhnya ibu mana yang tidak mahu melihat kejayaan anak-anak dan pastinya Habibah mempunyai alasan tersendiri ketika mendorong Bell ke dunia lakonan.
Malah, sebagai seorang ibu yang keluarganya sendiri berjinak-jinak dalam pentas lakonan waima adiknya, Rashidah Jaafar (bekas isteri Nasir P. Ramlee) juga seorang pelakon. barangkali langkah yang diambil Habibah direstui pula suami, Ngasri, terhadap masa depan anak-anak sudah diteliti dan dihalusi sedalam-dalamnya. Justeru bila diceritakan kenyataan Bell kepada Habibah, terpacul kata-kata. “Oh paksa ya… nah sekarang siapa yang berjaya… kamu berjaya kan?” sambil menghala jeritan suaranya ke arah Bell yang tersengih-sengih mengangguk tanda setuju. Jelas, gambaran yang diperlihatkan dua beranak ini sudah dapat menyimpulkan rentetan perjalanan kejayaan hidup keluarga bekas juruhebah RTM, Ngasri Sain ini dalam perjuangan seni mereka. Sebagai seorang anak lelaki yang masih aktif berlakon, Bell tidak pernah menyalahkan percaturan hidupnya ditentukan kedua ibu dan bapa. Malah mengakui sejak berjinak-jinak dengan lakonan beliau akur kerjaya senilah yang sesuai dengan jiwanya sehingga menjadi sumber pendapatan tetap. Tidak mahu menoleh belakang dan mengenangkan cita-citanya untuk menjadi seorang ahli sains yang tidak kesampaian, Bell melahirkan hasrat untuk terus berlakon selagi hayat dikandung badan malah merancang menjadi pengarah mahupun penerbit seperti yang telah diceburi terlebih dahulu oleh adiknya, Darling.
Bercerita dengan bintang Zodiak Virgo kelahiran 30 September 1980 di Hospital Assunta, Petaling Jaya ini, tidak terasa masa berlalu cukup pantas. Walaupun pertama kali bertemu secara lebih dekat dapat disimpulkan ia adalah seorang anak seni yang berjiwa sentimental, jujur dan ceria. Tubuhnya yang kecil pada ketinggian sederhana, 5 kaki 5 inci, namun istimewanya wajah beliau tidak mencerminkan usia sebenarnya yang kini mencecah 29 tahun. Malah dalam usia menghampiri 27 tahun, tanggal 30 Mac 2007 telah menyaksikan Bell bergelar suami kepada Nur Farhana, 25, dengan mas kahwin RM80 dan wang hantaran RM8,888.88. Mereka kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Nasfazrel Nasrizal yang kini sudah berusia lebih setahun. Bagaimana pun tenyata, pengalaman berumah tangga tidak seperti pengalaman berlakon yang telah ditimba bertahun-tahun. Kematangan yang baru setahun jagung sebagai ketua keluarga berkecai gara-gara kesilapan kecil yang membawa padah. Penghantaran SMS kepada isteri tanggal 22 Oktober 2008 yang berbunyi, ‘’Aku ceraikan kau. Thank you. Selamat berjaya,’’ mengakhiri lafaz cinta setia sehidup semati antara keduanya.
![]() |
“Itulah kesilapan saya yang tidak akan saya lupakan seumur hidup. Saya manusia biasa yang cetek ilmu kehidupan,” ujar Bell kala mengenangkan peristiwa pahit itu. Mereka terpaksa berpisah namun jodoh pertemuan, qada dan qadar ketentutan Illahi. Bell mengambil iktibar dari kejadian yang tidak diingininya itu dengan membuat keputusan merujuk semula. Lantas bulan Januari lalu menyaksikan Bell kembali menikahi Nur Farhana. “Artis pun manusia biasa yang tidak terlepas dari membuat kesilapan“ akui Bell, yang memperoleh nama jolokannya itu gara-gara takut dengan bunyi loceng sewaktu usia setahun dua. Mengembalikan kenangan waktu itu cerita Bell, “Ibu kata Bell ni takut dengar bunyi loceng, jadi ibu namakan saya Bell iaitu bermaksud loceng dalam bahasa Inggeris, sejak itulah saya dipanggil Bell sampai sekarang,” Pelakon yang buat pertama kali diperkenalkan di layar perak dalam filem Yassin arahan Tan Sri Kamarul Ariffin ketika berusia 7 tahun ini tidak menolak kemungkinan akan terus menghambakan dirinya pada seni perfileman mahupun drama yang menjadi ‘periuk nasi’nya sejak kecil.
“Sejak terlibat berlakon saya tidak pernah rasa puas malah setiap kali membawa pelbagai watak saya rasakan masih ada yang perlu diperbaiki,” jelas Bell yang kepingin watak mencabar sebagai ‘hero’ dalam filem aksi atau menjadi polis seperti dalam Gerak Khas. “Ini asyik diberi watak sama aje, asyik-asyik sebagai penyamun atau budak nakal,” keluh Bell, mengagumi Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang merupakan idolanya. Namun dalam meletakkan P, Ramlee sebagai idola utamanya, Bell tidak pula melupakan jasa ibu tercinta yang sanggup menguruskan hal ehwalnya sejak bergelar artis. “Tanpa usaha ibu, tidak mungkin saya akan menjadi pelakon dan berjaya ke tahap sekarang,” kenang Bell yang masih merujuk kepada ibunya dalam soal kerjaya.
Pemegang Diploma Penyiaran dari Akademi TV3 ini mengakui masih memberikan wang kepada ibu walaupun sudah beristeri kerana baginya jasa ibu dan bapa tidak ternilai dengan wang ringgit. Menurutnya beliau sentiasa berpegang pada pesanan ibunya iaitu, ‘sentiasa berada di bawah, jangan tinggi diri.’ Ekoran itu beliau berharap andai kata anaknya memilih dunia lakonan, beliau akan mengulangi pesanan itu tetapi dengan harapan yang lebih tinggi. “Jika dia memilih menjadi pelakon, dia harus lebih baik dari saya,” tambah aktor pembantu filem Antoo Fighter yang berjaya menghasilkan kutipan RM2.1 juta ini. Bakat seni yang mengalir dalam jiwanya bukan sahaja terserlah dalam lakonan, Barangkali ramai yang tidak menyedari bahawa Bell pernah menggalas tugas mengarah sebuah drama kanak-kanak.
“Apabila tidak ada tawaran berlakon, saya tidak bergoyang kaki sahaja tetapi terlibat di belakang tabir ataupun menghabiskan masa menulis skrip,” jelas Bell yang turut membantu dalam penerbitan drama syarikat adiknya Darling. Di samping itu seperti ayahnya, beliau turut menyumbangkan suara pada iklan-iklan radio dan menjadi pengacara program tv, terbaru berjudul Laksamana sebuah game show’ dijangka tayangannya di tv tidak lama lagi. “Sebenarnya jika ada yang masih ingat, saya mulakan bidang pengacaraan ketika mengendalikan rancangan kanak-kanak seperti Kelab Colgate, Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri dan Alam Ria Cuti Sekolah,” Bell mengembalikan kenangan masa lampaunya.
Baik Bell, Darling mahupun Anne yang masih aktif berlakon, ketiga beradik ini ternyata saling membantu kerjaya masing-masing malah sebagai sebuah keluarga seni, pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat pasti menjadi tali pegangan kehidupan seni mereka. Mungkinkah anak-anak mereka pula akan mewarisi jejak bintang ayah dan bonda masing-masing hanya masa dan corak pengajaran ibu bapa yang bakal menentukan, kerana anak-anak ibarat kain putih, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa mencorakkannya. Ngasri Sain sudah membuktikan corak anak-anaknya. Mampukan jalinan ini diteruskan cucu cicitnya? Takdir penentu segalanya….meminjam kata judul lagu Jamal Abdillah.
Nasrizal Ngasri
Nasreen Ngasri
Ann
Nasir P.Ramlee
Tan Sri P. Ramlee
Jamal Abdillah
Kamarul Ariffin
Antoo Fighter
Gerak Khas The Movie
Yassin
Artikel Terkini