![]() |
| TIGA... generasi bergabung. |
Bangsar – Bertempat di Golden Screen Cinema, Mid Valley berlangsungnya majlis ‘Pra Tonton’ SIFU & TONGGA yang merupakan filem ke – 26 arahan Prof. Madya A. Razak Mohaiddien. Filem tersebut telah mulakan tayangannya semenjak 29 Januari lalu yang membariskan 3 pelakon komedi dari 3 generasi iaitu Saiful Apek, Nabil Raja Lawak dan juga Piee. Selain itu juga Fouziah Ghaous, Erra Fazira dan ramai pelakon jemputan lain turut membintangi filem ini. Kos perbelanjaan sebanyak 1.6 juta termasuk promosi telah diperuntukkan bagi menghasilkan filem berunsur komedi penggembaraan.
![]() |
| Barisan pelakon Sifu & Tongga dengan harapan yang tinggi. |
Menurut kata Prof. Razak dia memilih untuk menggunakan konsep lawak satira didalam filem ini supaya penonton dapat berhibur sambil menangkap pengajaran halus yang cuba diketengahkan dalam filem arahanya.
“Kita ini mengambil mudah dengan kesenangan hidup. Dalam filem ini kita berbincang mengenai benda asas sahaja. Cuba bayangkan jika ada orang asli yang tidak pernah tahu tentang kemodenan dunia yang masuk ke bandar dan mengalami semua itu buat pertama kali. Selain dari itu kita juga dapat melihat kekejaman manusia yang sanggup menjual manusia untuk mengejar kemewahan hidup. Kita sering lupa asal usul dan perkara-perkara asas yang kita ada sekarang. Dengan mengambil kira semua ini kami telah menyelitkan beberapa sindiran di dalam babak-babak tertentu filem ini.
“Penggambaran filem yang mengambil masa 25 hari ini dilakukan di beberapa lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan juga di sebuah gua yang merupakan lokasi pertemuan ’Perak Man’ di daerah Lenggong, Perak. Saya berharap dengan adanya sentuhan CGI oleh KRU Studios, komposisi lagu oleh Azmeer dan kepelbagaian pelakon dapat menambat hati penonton nanti.” jelas Prof. Razak.
Bagi pelakon baru Fouziah Ghaous, watak ini merupakan satu cabaran yang sangat hebat buat dirinya kerana ini kali pertama beliau menjadi teraju utama sesebuah filem.
“Saya banyak bermain dengan riak wajah kerana watak yang saya bawa tidak mempunyai banyak dialog. Tiap kali sebelum memulakan penggambaran saya perlu sentiasa beringat supaya jangan jadi diri saya. Minda perlu kosong seperti tidak tahu apa-apa. Perlu banyakkan permainan mata melihat sekeliling seperti tidak pernah melihatnya sebelum ini. Saya harap filem ini dapat membawa tuah buat saya” katanya
![]() |
| FOUZIAH.... mengharapkan filem ini membawa tuah buatnya. |
Bagi Saiful Apek pengalaman berlakon bersama Nabil adalah suatu yang cukup mencabar baginya. Mereka banyak berbincang supaya lawak yang mereka lakonkan serasi di depan kamera. Apek mengulas lebih lanjut yang beliau tidak merasakan kehadiran Nabil itu bagaikan mengganti sesiapa.
“Apa yang kami lalui adalah rutin sama yang dilalui oleh mereka-meraka yang terdahulu. Kita hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyambungkan apa yang mereka buat dahulu untuk memantapkan industri filem komedi tanahair. Sebagai seorang pendatang baru dia banyak bertanyakan tentang selok belok dunia lakonan filem. Beliau seorang yang cepat tangkap apa yang diajar dan berani berkongsi idea untuk memantapkan lagi sesebuah scene. Ada kalanya dia kadang-kadang menyusahkan!” ujar Saiful Apek sambil memandang ke arah Nabil dan tertawa.