FFM (Festival Filem Malaysia) merupakan acara kemuncak bagi industri filem Malaysia. Festival tahun ini merupakan yang ke 21 dalam siri FFM.
Festival ini bertujuan meraikan kejayaan pengamal industri dan merangsang usaha memartabatkan industri perfileman tanahair serta mensasarkan kerjaya dalam bidang perfileman sebagai pilihan utama kerjaya generasi atau karyawan muda yang lebih berpelajaran, lebih kreatif dan bersemangat tinggi.
Objektif FFM-21 adalah untuk mengiktiraf karyawan dan karya filem yang dinilai terbaik bagi menggalakkan pembangunan industri perfileman Malaysia di samping terus memasyarakatkan filem serta mendedahkan dan mempromosikan filem-filem tempatan ke peringkat antarabangsa.
Tema FFM-21 2008 ialah “KE ARAH KECEMERLANGAN FILEM MALAYSIA”. Tema ini berhasrat membawa perhatian warga industri menumpukan perhatian terhadap meningkatkan kemahiran terhadap hasil kerja mereka agar filem yang diterbitkan kelak akan mencapai mutu penerbitan antarabangsa.
Logo Festival Filem Malaysia sedia ada dikekalkan dalam siri penganjuran festival bermula sejak Festival Filem Malaysia Ke-17 Kuala Lumpur 2004. Ia merupakan sebahagian usaha penjenamaan Festival Filem Malaysia sebagai medan pengiktirafan karyawan filem yang paling unggul dan berprestij.
Ia diilhamkan dari pergerakan obor yang menyala, simbolik kepada semangat juang karyawan filem tempatan untuk menghasilkan produk yang berkualiti, dinamik dan menarik perhatian penonton dalam dan luar negara.
Dua lingkaran filem yang membentuk obor adalah perlambangan hubungan erat dan kerjasama padu di antara penglibat industri. Terdapat kilauan cahaya bergemerlapan di lingkaran berkenaan yang memperlihatkan komitmen dan iltizam yang tinggi untuk memartabatkan industri perfileman Malaysia.