Oleh Sakini Mohd Said
Malah, agak menyedihkan apabila diketahui hak cipta kandungan karyawan sudah lama terpinggir dan terabai selama 50 tahun! Satu jangkamasa yang amat lama, tetapi kelihatan seperti tidak pernah diketengah atau dibincangkan secara serius.
Biarpun ada diskusi dijalankan, ia akhirnya berlalu sepi seperti tiada penghujung ke arah penyelesaian berkaitan dengan hak intelek.
Apatah lagi, ketika ini unsur budaya tidak beretika, menjalar di kalangan karyawan yang ‘kontang idea’ menciplak hasil karya orang lain untuk dijadikan hak sendiri.
Justeru, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) yang mempunyai lebih 300 anggota terdiri daripada pengarah filem, drama, rasa teruja serta terpanggil bertanggungjawab dengan fenomena melanda.
Berdasarkan kesedaran itu, menyuntik FDAM mengadakan satu forum khas membincangkan lebih terperinci kaedah, faedah hak cipta dan royalti pencipta masa depan karyawan.
Forum yang dianjurkan FDAM itu bukan sekadar pengisian kosong tetapi ia akan dijadikan satu titik mula perjuangan karyawan seni kerana hasil perbincangan, dirumuskan menjadi satu memorandum untuk diserahkan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bagi tindakan susulan.
Bermatlamatkan mencari kaedah sesuai berkaitan soal hak cipta atau royalti drama dan filem yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan, enam panel yang dijemput iaitu Timbalan Presiden Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM), Datuk Mohd Shariff Ahmad, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit TV Malaysia (PPTVM), Richard Ung, Pemangku Pengarah Hakcipta Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Kuljit Singh Ojagar Singh Judge, Pengurus Besar Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP), Chan Miew Lan, wakil FDAM, Mansor Puteh dan dimoderator Khairuddin Othman.
Antara pengisian asas forum yang dibincangkan adalah kewajaran menubuhkan satu persatuan mirip MACP yang bertindak mengurus hak cipta dan royalti mereka terbabit dalam pembikinan drama mahupun filem.
Kata Richard, pihak daripada PPTVM bersetuju dengan idea penubuhan satu persatuan yang bertindak seperti MACP untuk menjaga kepentingan serta kebajikan pengarah, pelakon, penulis lirik, kru produksi hinggalah pembuat kopi.
“Kami daripada PPTVM menyokong penuh idea penubuhan persatuan itu. Malah, kami sudi menyumbangkan sedikit dana sebagai pemangkin menggerakkan perjalanan persatuan itu.
“Berkaitan komisen yang kami (penerbit) dapat untuk siaran drama ataupun filem di televisyen, sudah tentu akan dikongsi bersama pengarah, pelakon dan semua yang terbabit. Cuma, mungkin terdapat sikit masalah menyebabkan agihan itu tidak sampai. Justeru, saya sarankan perlunya semua persatuan berkumpul berbincang mengenai isu ini,” ujar Richard.
Bagi Kuljit pula, pihak MyIPO tidak mempunyai masalah membantu FDAM merealisasikan usul bernas yang dilihat membawa kebaikan kepada semua masa depan karyawan menerusi perkhidmatan nasihat, bimbingan serta undang-undang yang perlu diketahui.
“Kebanyakan tidak tahu apa hak mereka serta saluran mana perlu dituju sekiranya berlaku penyelewengan karya. Kami di MyIPO tidak teragak-agak memberi bantuan berkaitan ekslusif pemunya hakcipta, kesalahan pelanggaran hakcipta dan pelbagai lagi yang berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987.
“Jadi, bila terdengar mengenai usul menubuhkan persatuan mirip MACP, kami sedia bekerjasama dengan FDAM. Lagipun, menubuh persatuan yang memperjuangkan hakcipta serta royalti karyawan, sememangnya memerlukan kefahaman jitu mengenai undang-undang yang ada,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shariff menyentuh kadar nisbah yang perlu ditentukan bagi tujuan royalti sekiranya dasar berkenaan dapat dilaksanakan.
“Sebagai pihak yang memperjuangkan kebajikan penulis skrip, sudah tentu kami turut bersetuju dengan pandangan panel sebelum ini. Cuma, terdapat sedikit kepudaran mengenai isu royalti. “Sekiranya, ingin mengambil contoh pengurusan MACP yang berjaya mengutip ribuan ringgit setahun royalti untuk komposer, penulis lirik, pemuzik, bagaimana pula dengan mereka yang terbabit dalam dunia perfileman dan drama?
“Muzik hanya membabitkan kuantiti kecil berbanding industri perfileman dan drama yang meliputi pengarah, pelakon hinggalah menjaga pakaian. Kuantitinya sangat banyak. Jadi, persoalan berkaitan nisbah perlu dititikberatkan mengikut kepentingan masing-masing. Namun, ia perlulah jujur dan tidak berat sebelah,” beritahu Mohd Shariff.
Melihat kejayaan MACP bermula dari sebuah badan kecil akhirnya berkembang pesat menjadi satu institusi yang telus dalam isu pembayaran berkaitan royalti, menyuntik FDAM untuk mendapatkan pandangan serta tunjuk ajar bagi melaksanakan misi itu.
“MACP gembira melihat perjuangan untuk menjaga kebajikan karyawan muzik negara akhirnya menyuntik industri perfileman dan drama turut serta. Dengan pengetahuan serta pengalaman yang ada, sudah tentu kami salurkan kepada mereka. Lagipun, ini kepentingan bersama,” kata Miew Lan.
Bagi Mansor, dia menyarankan satu penyiasatan berkaitan hak serta royalti filem lama diteliti balik kerana kemungkinan ada penipuan di sebaliknya.
“Saya terbaca satu artikel mengenai sebuah stesen televisyen swasta membeli filem lama dari sebuah studio di luar negara dengan harga tinggi untuk mendapat hak siaran penuh. Bagaimanapun, saya hairan kenapa pihak studio berkenaan tidak menyumbangkan sekurangnya 10 peratus kepada pelakon veteran ataupun ahli keluarga mereka hasil dari pembayaran itu.
“Pihak studio menyatakan mereka mempunyai bukti kru produksi filem lama terikat dengan perjanjian kontrak yang membolehkan menerima pembayaran sebanyak itu. Tetapi, saya fikir mustahil kerana mungkin kontrak itu sudah hilang ataupun ia cuma alasan saja.
“Jadi, saya harap penyiasatan perlu dilakukan kerana ini bukan saja menyentuh perihal hak tetapi kebajikan kru produksi filem lama terjaga. Walaupun sudah meninggal, tetapi royalti boleh disalurkan kepada ahli keluarga mereka,” katanya.
Pandangan Mansor turut disetujui Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mat London. Malah, disebabkan itulah FDAM mencadangkan untuk menubuh satu persatuan mirip MACP, bertujuan menjaga hal kebajikan berkaitan dengan royalti.
“Perkara berkaitan kebajikan karyawan filem dan drama perlu diambil berat mulai sekarang. Sudah lama ia dibiarkan berleluasa hingga memberi kepuasan besar kepada 'orang tertentu' mengambil peluang sesuka hati dan meraih pendapatan tidak sepatutnya.
“Jadi, amat besarlah harapan kami agar cadangan ini diterima ramai dan dapat dilaksanakan sebaik mungkin biarpun mengetahui pelbagai halangan bakal ditempuhi nanti. Selain itu, FDAM turut menyarankan agar terdapat satu akta menghalang penerbit menjual semua hakcipta sesuatu program kepada stesen televisyen.