Sinema Malaysia - Keratan Akhbar
Anda berada di : Utama > Keratan Akhbar > Utusan Malaysia
Keratan Akhbar
 

09 Februari 2010 : Utusan Malaysia

Gadis Melayu Jadi Lagu Gadis Malaysia

Oleh ABD. AZIZ ITAR

JAMAL Abdillah menyanyikan dengan penuh perasaan lagu berjudul Gadis Malaysia pada Konsert Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEBAGAI penyanyi popular yang menjadi pujaan pelbagai lapisan masyarakat, Jamal Abdillah mempunyai banyak kelebihan termasuklah membantu kerajaan menjayakan kempen 1Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak ini misalnya, menggunakan lagu berjudul Gadis Melayu yang pernah dipopularkan oleh Othman Hamzah dari Singapura bagi menjayakan kempen itu dalam persembahan-persembahan yang diadakannya sejak kebelakangan ini.

Menurut Jamal, dia menukar judul dan senikata lagu Gadis Melayu kepada Gadis Malaysia sewaktu menyanyikan lagu yang popular pada tahun 1980-an itu bagi menyesuaikan dengan tema kempen itu agar ia dapat dihayati oleh segenap lapisan pendengar tanpa mengira bangsa. "Saya mula menukar lirik dan senikata lagu Gadis Melayu kepada Gadis Malaysia sejak perayaan Krismas tahun lalu. Ia bagi menyesuaikan dengan kempen 1Malaysia selain boleh membawa skop yang lebih luas dan tidak terhad untuk ditujukan kepada gadis Melayu sahaja. "Di Malaysia selain gadis Melayu, gadis-gadis bangsa lain juga tidak kurang cantiknya. Perubahan itu dilakukan atas permintaan Istana Budaya sewaktu saya mengadakan persembahan di sana," katanya ketika ditemui di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan Konsert Orkestra Tradisional Malaysia di Panggung Sari, IB yang menyatukan pelbagai jenis alat muzik, lagu dan penyanyi yang terdiri daripada berbilang bangsa di bawah pimpinan Mohd. Yazid Zakaria. Pada pertemuan itu, Jamal yang popular dengan lagu malar segarnya berjudul, Keluhan Perantau berkata, dia tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan judul dan senikata baru lagu tersebut sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat dan kerajaan. Malah, selepas ini Jamal juga akan terus menggunakan judul lagu dan lirik Gadis Malaysia dalam persembahan-persembahan yang akan diadakannya di seluruh negara demi memastikan lagu yang dipopularkannya semula itu akan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia.

"Dalam hal ini saya perlu berkorban dan tidak terlalu berkira soal komersial, sebaliknya saya akan sentiasa bekerjasama termasuklah dalam hal-hal seperti ini sebagai salah satu sumbangan saya kepada masyarakat. Ini adalah suatu usaha murni yang mampu saya sumbangkan. "Ia bukan setakat untuk berhibur semata-mata tetapi ia juga ke arah gagasan untuk menyatupadukan rakyat negara ini di bawah kempen 1Malaysia. Mula-mula rasa kekok tetapi lama-kelamaan saya boleh membiasakan diri dan para peminat juga menerimanya," ujarnya. Selain lagu Gadis Malaysia, pada persembahan selama hampir 90 minit yang mengenakan tiket berharga RM30, RM50 dan RM70 itu, Jamal turut menyanyikan lagu berjudul Kehebatan Cinta berduet dengan Asmidar sambil diiringi 64 pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia.

Pada konsert yang berlangsung dari 5 hingga 6 Februari lalu itu, ramai penyanyi tempatan berbilang bangsa seperti Iqwal, Kumar Karthigesu, Bahbola dan Imran Suleiman Palestin turut serta bagi menjayakan kempen 1Malaysia anjuran pentas bertaraf antarabangsa tersebut. Meskipun berpengalaman menyanyi selama lebih 30 tahun tetapi Jamal tidak menafikan dia berasa gementar menyanyi dengan berlatarbelakangkan alunan muzik orkestra yang menggabungkan pelbagai instrumen yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India pada konsert tersebut.

"Saya rasa gementar kerana susunan muzik pada persembahan ini agak lain kerana ia dipersembahkan dalam konsep orkestra tradisional bersama lebih 60 pemuzik. Apatah lagi, saya tidak banyak berlatih dan hanya sempat berlatih sekali sebelum konsert diadakan. "Walau bagaimanapun, saya rasa puas hati kerana konsert ini lain daripada lain. Bukan saya sahaja, tetapi saya yakin para penonton juga berasa teruja dengan kelainan yang dipersembahkan pada konsert yang julung-julung kalinya diadakan itu," katanya. Selain persembahan di IB itu, Jamal pada masa sama turut menyatakan dia kini sedang mengadakan persiapan bagi menjayakan konsertnya yang akan datang di pentas bertaraf dunia itu pada tahun depan menerusi Konsert Nada Legenda.

Jelasnya, konsert solo terbarunya yang sedang dirancang dan dijangka diadakan pada 7, 8 dan 9 Januari 2011 itu juga merupakan satu lagi persembahannya yang unik di mana ia mampu mengimbau nostalgia para peminat lagu-lagu penyanyi lama tanah air. "Dalam konsert itu saya merancang untuk menyanyikan lagu-lagu lama yang tidak pernah saya nyanyikan di pentas. Lagu-lagu yang akan saya nyanyikan itu merupakan lagu-lagu klasik yang pernah dipopularkan oleh para penyanyi lama seperti R. Azmi, Ismail Haron dan M. Bakri.

"Saya akan menyanyikan lagu-lagu lama itu dalam satu segmen khas selama sejam, manakala sejam berikutnya saya akan menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain yang kurang popular tetapi ada kekuatan tersendiri serta dipersembahkan dalam nada baru," ujarnya lagi. Hadir sama menyaksikan konsert yang menggunakan alat-alat muzik tradisional pelbagai kaum di Malaysia seperti gong, kompang, serunai, erhu, rebab, gamelan, seruling, suona, pipa, yang qin, mandolin dan bansuri itu ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

 

Laman Utama PengumumanArtikelKeratan Akhbar
Mengenai SM Mengenai SMMajalah SINEMA MALAYSIAHubungi KamiDasar KeselamatanDasar Privasi
Filem Senarai FilemArtis Senarai ArtisDirektori Direktori SyarikatDirektori Krew FilemDESTINATION MALAYSIA
Galeri Galeri terkiniKOMUNITI FORUMDaftar MasukDaftar PERCUMA
FESTIVAL Festival Filem MalaysiaFestival Filem Antarabangsa Kuala LumpurFestival Filem & Video Pelajar Malaysia

Penafian : Pihak Kerajaan Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.

Portal ini dibawakan khas oleh PERBADANAN KEMAJUAN FILEM NASIONAL MALAYSIA (FINAS)
Disokong oleh KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN
Dibangunkan dan diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD