Oleh Zainuri Misfar
SEWAKTU zaman budak-budak pada umur sekitar tujuh tahun, orang tua menghantar kita belajar membaca muqadam dan al-Quran dengan seorang guru mengaji di kampung yang dipanggil Haji Ibrahim (Allahyarham). Bersama kita ialah adik perempuan, Fizah dan dua rakan yang juga adik beradik iaitu Shukri dan Maswan, jiran di depan rumah.
Waktu mengaji ini sebelah malam. Tapi kena datang ke rumah Haji Ibrahim lebih awal kerana sebelum mengaji al-Quran, kami diwajibkan bersolat Maghrib secara berjemaah dengan seluruh anggota keluarganya. Selepas selesai solat Maghrib, kami bersama-sama tiga anak Haji Ibrahim menghafal bacaan solat, bermula dengan niat berwuduk, niat solat, ayat Fatihah, takbiratulihram hinggalah kepada bacaan tahyat akhir.
Ketika ini, walaupun Haji Ibrahim kelihatan khusyuk berwirid tetapi telinganya sangat sensitif dapat mengesan sesiapa yang tertidur, siapa yang buat silap dan siapa yang main-main.
Apabila waktu Isyak, kami sekali lagi diwajibkan bersolat jemaah bersama-sama semua anggota keluarga Haji Ibrahim yang ada di rumahnya pada waktu itu. Selepas solat Isyak, barulah kami mula diajar mengaji al-Quran. Ertinya, selain diajar membaca al-Quran kami juga diasuh bersolat. Semuanya berakhir sehingga hampir jam 10 malam. Itulah rutin kami pada setiap hari kecuali hari Jumaat. Cuti rehat lain kalau Haji Ibrahim tiada di rumah kerana pergi kenduri, tidak sihat atau menziarahi anaknya di tempat lain.
Emak atau bapa kita memang tidak akan datang mengambil kami walaupun malam semakin larut. Dan, kami juga tidak akan dihantar balik oleh Haji Ibrahim atau anak-anaknya.
Jadi, kami berempat meredah kegelapan malam berjalan kaki kira-kira 500 meter dengan menggunakan jamung atau obor yang dibuat daripada pelepah kepala yang kering. Nampak dekat, tapi mungkin kerana masa itu budak-budak lagi, kami berasa jauh juga. Jamung ini dibuat pada waktu petang, sebelum hendak pergi mengaji. Selalunya, kami membawa dua atau tiga jamung. Kalau satu jamung habis di pertengahan jalan, ada dua lagi sebagai penyuluh jalan.
Kata emak, bapa atau orang kampung, kami tidak boleh bawa lampu picit. Sebab waktu malam di tepi parit (tali air) dikatakan ada hantu api sedang mencari katak, terutama pada waktu selepas hujan. Hantu ini dari jauh berkelip-kelip, nampak macam api kecil tetapi kalau disuluh dengan lampu picit ia akan ‘melawan’. Hantu ini akan menghampiri kami dan muncul menjadi lembaga besar.
Percaya dengan cakap orang tua, kami bawa jamung kerana kononnya hantu takut dengan api jamung. Akhirnya sehingga kami khatam al-Quran, kami tidak pernah terserempak atau dihampiri dengan hantu api. Mungkin kerana takut dengan jamung yang kami bawa. Apa yang kami tahu, lampu kecil selepas waktu hujan ialah orang sedang mengutip cendawan.
Apabila dewasa, rupa-rupanya barulah kami tahu kedua orang tua kami suruh bawa jamung sebab tidak mampu untuk menyediakan lampu picit. Apa tidaknya, kalau bawa lampu picit, maka setiap hari bapa kena beli bateri kering pula.
Balik mengaji, selalu juga kita menonton program seram, misteri atau hantu yang disiarkan oleh TV1 atau TV2. Kita tidak ingat sama ada TV1 atau TV2, tetapi pada waktu tengah malam, disiarkan drama TV bersiri berdasarkan cerita daripada Alfred Hitchcock. Ceritanya cukup seram, misteri dan kadang-kadang agak kejam.
Selain itu, kita juga terdedah dengan cerita seram dari Barat seperti Dracula yang ada macam-macam versi, hantu zombie seperti Frankenstein selain cerita seram Indonesia. Meningkat remaja, selain cerita seram daripada drama atau filem yang disiarkan di TV, kita juga terdedah dengan pelbagai bacaan yang berkisar dengan kisah misteri. Satu daripada novel seram bersiri yang menjadi kegemaran kita ialah Bercakap Dengan Jin tulisan Tamar Jalis.
Syukur, bukan berniat hendak takbur, riak atau besar diri, tidak sama sekali, tetapi sehingga hari ini pemikiran kita tidak terpesong atau terganggu kerana terdedah dengan macam-macam cerita hantu yang disampaikan secara lisan oleh orang tua seperti arwah nenek, emak dan bapa, jiran-jiran kampung selain daripada program TV dan bermacam-macam bahan bacaan.
Drama atau cerita seram ini berakar umbi kepada budaya masyarakat semua bangsa. Kewujudan hantu atau momok ada kalanya sengaja diada-adakan oleh orang tua kita untuk mendisiplinkan anak-anaknya. Memang ia memberi kesan psikologi yang besar kepada kita, sama ada secara negatif atau positif. Dari sudut negatif, cerita hantu meninggalkan kesan menakutkan. Positifnya, kita menjadi lebih berdisiplin pada masa dan kata-kata orang tua.
Hari ini, ia bukan saja dalam budaya orang Melayu, tetapi orang Cina, India, malahan bangsa yang maju sekalipun seperti di Barat, Jepun dan Korea ‘percaya’ dengan kewujudan hantu.
Apa yang membezakan antara kita dengan mereka ialah kepercayaan dan bentuk hantunya saja. Cerita hantu ini, terutama dalam masyarakat Melayu tersebar secara lisan. Belum ada cerita atau kisah kewujudan hantu ini dilakukan secara akademi atau ilmiah seperti mana dilakukan oleh pengkaji di Barat.
Di Barat, pemburu hantu atau seekers menganggap hantu sebagai supernatural. Bahkan kewujudan hantu di Barat dijadikan sebagai bahan kajian sains menerusi pelbagai cara.
Suatu ketika dulu, kita sendiri sering didedahkan cerita hantu daripada drama atau filem Cina, mungkin dari Hong Kong atau Taiwan. Hantunya wujud lengkap dengan pakaian tradisional Cina. Mereka terlompat-lompat seperti hantu pocong dalam versi Melayu. Hantu itu akan berhenti mengejar mangsanya dengan melompat-lompat apabila ada bomoh melekatkan kertas jampi di dahi hantu berkenaan. Pada mulanya ia seakan-akan menakutkan juga, tetapi lama kelamaan ia sudah tidak ada apa-apa. Malahan kalau ia ditunjukkan, hantu meloncat-loncat ini akan menjadi bahan ketawa pula, bukan sebaliknya menimbulkan ketakutan.
Kita bukan bermaksud hendak menggalakkan penyiaran serta penerbitan drama atau program misteri serta hantu. Tetapi tidak juga bermakna supaya program seperti ini dihentikan. Isunya ialah adakah hantu ini juga berkait dengan fantasi atau realiti?
Dalam sesebuah drama, cerita hantu ini ditokok tambah oleh pengarah atau pengkaryanya supaya kelihatan seram. Ia nampak fantasi kerana kita percaya kebanyakan pengarah atau pengkarya tidak pernah melihat wajah hantu yang sebenar. Wajah hantu dalam drama mereka hanyalah bayangan atau fantasi berdasarkan cerita-cerita daripada orang-orang tua kita juga.
Realitinya, tanpa program hantu, apakah orang jadi bijak dan tidak takut. Kita rasa tidak juga. Berjalan tengah malam di tempat tertentu dalam suasana sunyi, bukan bersendiri tetapi berdua atau bertiga juga boleh menimbulkan rasa seram. Kenapa?
Ada kalanya cerita hantu dan misteri ini mengajar kita supaya jangan takut kepada apa-apa pun kecuali pada Allah. Ia juga menyedarkan umat bahawa syaitan dan iblis sentiasa melakukan apa saja untuk melemahkan semangat manusia.
Dalam hal ini, peranan orang dewasa adalah penting dalam mendidik cara menonton TV. Kita tidak boleh menyalahkan stesen TV sepenuhnya hanya kerana menyiarkan drama atau filem seram. Khalayak penonton TV ini pelbagai ragam. Ada yang tidak kisah, malah ada penonton boleh berfikir secara rasional bahawa hantu itu tidak wujud, hanya khayalan manusia semata-mata.
Bagaimanapun, stesen TV, penerbit filem, drama atau program seram dan misteri ini mestilah memastikan rancangan seperti ini bukan sekadar hiburan tetapi memberikan pengajaran yang jelas kepada penonton. Ia bukan sekadar nota semata-mata, tetapi patut juga ada babak dan adegan sekiranya kita terlalu percaya dan taksub dengan perkara-perkara mistik, misteri, tahyul dan paling penting ada pengajaran bahawa tiada apa yang lebih berkuasa melainkan Allah saja.
Pihak berkuasa seperti Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) harus memantau program, drama atau filem hantu supaya ia tidak keterlaluan apabila dipertontonkan kepada orang ramai, baik di kaca TV atau dalam panggung.