Oleh Akmal Abdullah
PADA 2005, kerajaan menerusi kementerian yang menjaga hal ehwal berkaitan kebudayaan dan industri hiburan meminta persatuan membabitkan artis dan penggiat seni di negara ini supaya bersatu dalam satu badan gabungan yang lebih besar. Sejak itu, beberapa persatuan yang tidak bernaung dalam mana-mana badan induk mula menyertai Gabungan Persatuan Karyawan filem Malaysia (Gafim) dan Majlis Muzik Malaysia (MMM).
Ketika itu ada beberapa persatuan yang berdegil dan memandang remeh penubuhan Gafim dan MMM. Bukan saja tidak berminat menyertai badan gabungan sedia ada, tetapi beberapa persatuan terbabit sengaja memperlekeh kewujudan Gafim dan MMM lalu berusaha menubuhkan badan gabungan baru, terutama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Karyawan yang diketuai presidennya, Freddie Fernandez pernah mencadangkan penubuhan Majlis Industri Kesenian (MIK). Dia mula melobi persatuan lain supaya bersatu di bawah badan gabungan anjurannya itu. Namun, usaha Karyawan gagal sebab dikritik hebat dan diprotes kebanyakan persatuan seni lain. Cadangan itu juga tidak direstui pihak kementerian kerana badan gabungan sedia ada dalam industri hiburan ketika ini sudah cukup untuk memayungi persatuan seni di negara ini. Tiga badan gabungan itu ialah Gafim, MMM dan Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota).
Umum dalam industri hiburan tahu pemimpin Karyawan sering menggunakan pendekatan bertelagah dengan pemimpin persatuan lain. Atas sikap itu jugalah Karyawan berkeras tidak mahu menyertai Gafim atau MMM dengan pelbagai alasan. Namun, pada masa sama penyertaan keahlian dalam Gafim makin meningkat, iaitu daripada enam persatuan, kini Gafim memayungi 11 persatuan seni. Karyawan tetap menolak menyertai Gafim sambil Freddie mempersoal pengurusan dalam Gafim dengan mempertikai pentadbiran Gafim dan MMM sambil menuduh gabungan itu kurang teratur, bercelaru dan tidak berjalan dengan baik seperti kenyataannya dalam media massa pada 12 Disember 2005.
Namun, baru-baru ini, kita terdengar Karyawan menunjukkan minat menyertai Gafim dan menghantar permohonan kepada pengurusan Gafim dengan berharap dapat diterima untuk bersama dalam badan induk itu. Beberapa pemimpin persatuan seni yang ditemui meluahkan rasa terkejut dan hairan kerana Karyawan tiba-tiba boleh ‘lembut hati’ dan berminat menyertai Gafim sedangkan dulu Karyawan begitu lancang memperlekeh kewujudan Gafim, sering memandang rendah kepada persatuan lain yang sudah lama berada dalam Gafim. Lagipun, Gafim tidak lagi mempelawa Karyawan untuk menyertai badan itu tetapi Karyawan sendiri pula teringin menyertai Gafim. Beberapa ahli dalam Gafim yang ditemui mengakui mereka kurang senang dengan sikap pemimpin Karyawan yang secara tiba-tiba hendak menyertai Gafim sedangkan Freddie langsung tidak pernah memohon maaf sesudah beliau pernah mencemuh Gafim. Malah beberapa pemimpin persatuan dalam Gafim kini akui mereka sebenarnya bukan tidak sudi untuk terima Karyawan menyertai Gafim tetapi diselubungi perasaan bimbang dan mencurigainya kerana sikap Freddie selama ini.
Malah, tahun lalu, Karyawan juga dengan lantang membidas pemimpin dan pengurusan dalam MMM dengan membuat pelbagai tuduhan menerusi media. Selain itu, Freddie pernah berkata, dia akan bertemu Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi mendapatkan kesahihan pendaftaran dan kedudukan kewangan 19 persatuan yang bernaung di bawah Mahkota. Semuanya kerana sikap Freddie yang begitu mencurigai terhadap persatuan lain. Soalnya sekarang apakah 11 ahli dalam Gafim boleh menerima baik kemasukan Karyawan dengan melupakan terus apa yang sudah Freddie buat terhadap mereka. Selama ini, Karyawan sering mencari pasal dengan beberapa pemimpin persatuan yang berada dalam naungan Gafim. Sebab itu apakah dengan mudah mereka boleh menyokong kehadiran Karyawan dalam Gafim sedangkan Freddie masih menjadi presidennya?
Pemimpin persatuan terbabit hairan kenapa baru sekarang Karyawan menunjukkan minat selepas mendapati dirinya terpinggir dan tidak mampu lagi meneruskan perjuangan sendirian. Rupa-rupanya Freddie sedar mereka tidak boleh sendirian, dan mungkin atas nasihat orang atasan di kementerian, Karyawan terpaksa menebal muka untuk diterima menyertai Gafim.
Sejak penubuhan Karyawan pada 2000, sering berlaku kontroversi akibat sikap, pendekatan dan kenyataan diluahkan pemimpin persatuan ini. Ia tidak pernah berkesudahan malah pemimpin Karyawan terutama Freddie sering mempersoal perjalanan persatuan lain dan lebih mengecewakan, Freddie juga sering membuat kenyataan berunsur penghinaan dan bersifat peribadi termasuk mahu melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perjalanan persatuan lain dan mempersoal seorang pemimpin persatuan lain kerana hanya orang itu memiliki kereta Mercedes Benz.
Sebelas persatuan yang kini berada dalam Gafim ialah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam), Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM), Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima, dulunya PPFM), Persatuan Artis Rakaman India Malaysia (Irim), Persatuan Artis Cina Malaysia (Amca), Persatuan Penyiar Kebangsaan (Penyiar) dan Persatuan Kebajikan Penghibur India Malaysia (Miewa).
Bolehkah 11 persatuan yang berada dalam Gafim ini rela dan sudi menerima Karyawan? Memang dari segi perpaduan, ia nampak bagus untuk menerima satu lagi persatuan dalam satu payung tetapi jika dinilai semula fungsi dan kewujudan Karyawan, ia untuk siapa sebenarnya? Karyawan tidak mengkhusus kepada mana-mana karier penggiat seni yang ada sebab keahliannya berselerak dan ‘tangkap borong’ dengan sesiapa saja yang terbabit dalam bidang hiburan boleh menjadi ahli Karyawan. Jika dalam keahlian Karyawan ada pelakon, penyanyi, pemuzik, atau pengarah mahupun penulis skrip, tetapi dalam Gafim sudah ada persatuan yang mengkhusus untuk semua penggiat seni terbabit. Karyawan tidak memfokus kepada penggiat seni tertentu, jadi apa tujuan dan untuk siapa platform Karyawan sebenarnya? Ia berlaku pertindihan jika Karyawan berada dalam Gafim. Keahlian yang berselerak dalam Karyawan boleh mengelirukan fungsi pengkhususan persatuan seni yang sudah bernaung dalam Gafim. Ini akan memberi kesan tidak baik kepada pengurusan Gafim sendiri sekali gus mungkin kelak boleh mengundang pertelingkahan sesama mereka, apatah lagi jika menilai dan mengimbas semula sikap kepemimpinan Karyawan selama ini. Tidak mustahil dalam Gafim selepas ini kelak boleh berlaku sikap berpuak jika hal ini tidak diawasi.
Freddie menerusi media massa sebelum ini pernah mempersoal pengurusan dalam Gafim dengan meminta semua mereka ‘mencantikkan' dulu persatuan yang ada. Freddie juga pernah berkata, Karyawan hanya akan menerima tawaran menyertai Gafim jika Gafim memberikan beberapa maklumat dikehendaki seperti aktiviti semua persatuan yang ada di bawah Gafim, selain beliau mahukan salinan laporan mesyuarat tahunan dan akaun yang sudah diaudit bagi setiap persatuan dalam Gafim.
“Saya juga ingin mencadangkan kepada Gafim supaya membuka permohonan kepada pihak lain seperti pengurusan panggung wayang, penerbit program televisyen, pembikin filem pendek, stesen TV, pengedar VCD dan sebagainya," kata Freddie dalam kenyataannya pada 22 Julai 2005. Terserah pada ahli Gafim untuk sudi menerima Karyawan atau sebaliknya. Tepuk dahi tanyalah sendiri.
Sikap Karyawan selama ini dilihat sering menonjolkan budaya tidak sihat dan tidak menggalakkan perpaduan sesama persatuan artis kerana sering mahu bercakaran dengan pemimpin persatuan lain, terutama sikap Freddie. Firasat membayangkan suasana dirasakan lebih sukar jika Karyawan berada dalam Gafim. Jangan hairan jika ditakdirkan Karyawan berada dalam Gafim, selagi masih Freddie tidak berubah sikap, gaya kepemimpinan dan pemikirannya, Gafim akan menjadi ‘tidak tenteram’ dan terjejas keharmoniannya.
Ia mungkin dilihat lebih terjamin jika Freddie memohon maaf secara terbuka terhadap segala kekecohan, kontroversi dan penghinaan yang pernah dicetuskan beliau sebelum ini dan berjanji selepas ini akan menggunakan pendekatan berhemah dan toleransi, bukan lagi ego dengan berasakan dirinya saja yang betul. Freddie tidak boleh menagih penyertaan Karyawan dalam Gafim disebabkan keadaan terdesak atau disuruh oleh orang kementerian, sebaliknya harus benar-benar ikhlas dan insaf untuk mewujudkan perpaduan sesama persatuan seni dan faham maksud ‘hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah.’
Kata orang, kalau tidak bersebab, takkan tempua bersarang rendah... - akmel@bharian.com.my
Artikel Terkini