![]() |
| MANESH meneroka dunia berbeza penghasilan filem menerusi projek Your Grandfater's Road. |
MUNGKIN Sunny Stories Sdn Bhd menongkah arus apabila berhasrat menghasilkan sebuah filem berjudul Your Grandfater’s Road. Menggunakan motto daripada rakyat untuk rakyat, filem yang dirancang dengan kerjasama Popiah Pictures itu tidak melalui proses penghasilan biasa, sebaliknya menyerahkan kepada orang ramai untuk menentukan cerita serta bentuk pembikinannya. Dengan mewujudkan sebuah laman web (www.yourgrandfathersroad.com), mereka ingin mendapatkan cerita serta maklum balas terbaik daripada orang ramai. Pengarah Kreatif Sunny Stories, Manesh Nesaratnam percaya, rakyat negara ini memiliki pelbagai kisah menarik yang mampu meninggalkan kesan mendalam di dalam jiwa.
"Saya yakin, ramai di kalangan kita yang sebenarnya kaya dengan pelbagai kisah, yang masih lagi tersembunyi dalam diri. Justeru, menerusi projek ini, masing-masing mampu tampil dengan cerita sendiri. Cerita itu pula pasti meninggalkan impak besar ke atas masyarakat dan cerita yang berupaya menyatukan kita semua," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran projek berkenaan di TGV KLCC baru-baru ini. Hadir sama pada majlis itu ialah produser Sunny Stories, Amy Lim; serta penerbit dari Popiah Pictures, Anne Low dan Ng Ping Ho. Manesh menjelaskan, sesuatu tugas yang mungkin dilaksanakan hanya seorang atau dua bagi penghasilan filem cereka kini diserahkan kepada rakyat Malaysia melakukannya.
"Secara dasarnya, projek ini akan mendapatkan ilham untuk cerita dan karakter menerusi tindak balas yang diberikan khalayak terhadap topik bertema yang kami paparkan di laman web. Sebuah skrip akan ditulis berdasarkan cerita berkenaan selepas dua bulan proses mendapatkan maklum balas orang ramai itu diadakan. "Kemudian, skrip itu akan ditunjukkan kembali kepada khalayak bagi membolehkan mereka memberikan idea kepada reka bentuk penerbitan, lokasi, pemilihan pelakon, penggunaan muzik, arahan seni serta kerja kamera. Selepas itu, sekumpulan pakar daripada Sunny Stories akan merekabentuk dan merakamkan ilham terakhir itu untuk tayangan pawagam," kata Manesh yang mengidamkan sebuah filem yang mengandungi beberapa cerita menerusi projek berkenaan.
Katanya, orang ramai mampu memberikan sebanyak mana idea yang mereka mahukan, asalkan ia tidak lari daripada beberapa garis panduan filem mereka ingin hasilkan. Filem terbabit dilihat sebagai filem bercorak perjalanan (road movie), mengenai identiti (sebagai rakyat Malaysia, contohnya) dan kemuliaan diri. Katanya juga, Sunny Stories mungkin tidak mengambil cerita yang diilhamkan khalayak secara bulat-bulat. Sebaliknya dia membayangkan kemungkinan berlaku perubahan, seperti pada cerita dan karakter yang dicadangkan, mengikut kesesuaian. Begitupun, kredit pasti diberikan kepada pencetus ideanya.
Pengarah yang baru saja menghasilkan filem pendek, The Invigilator, itu berharap filem cereka sulungnya dapat dijadikan kenyataan sebelum kempen kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, Jun ini, bermula. "Kami hanya mempunyai beberapa bulan untuk melaksanakan projek ini. Apabila Piala Dunia bermula, saya percaya tidak ada lagi orang yang mahu bekerja," katanya sambil ketawa. Ping Ho pula berkeyakinan projek yang mendapat sokongan Mini Malaysia (BMW Group Malaysia) itu mampu direalisasikan dengan pembabitan orang ramai yang membantu menyalurkan idea, ulasan, teguran mahupun pandangan terhadap sesuatu topik mereka kemukakan di laman web berkenaan.
"Rakyat negara ini sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menyampaikan cerita yang menarik untuk dikongsi bersama. Ketika yang sama, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah projek sebegini dapat dijadikan kenyataan? Kami bersedia untuk membuktikan, dengan sokongan semua pihak, ia bukan lagi sebuah impian," katanya. Dia turut menegaskan, walaupun filem itu daripada rakyat, mereka seboleh-bolehnya akan memastikan cerita yang dipaparkan nanti tidak akan menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atau mencetuskan kontroversi apabila ditayangkan kelak. "Pastinya kami tidak mahu menghasilkan filem yang akan diharamkan kerajaan. Kami bukannya penggiat mana-mana fahaman politik," ujarnya.