Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
Filem terbitan Metrowealth (MIG) Production Sdn Bhd sebelum ini misalnya, Jangan Pandang Belakang (JPB) mencatat jumlah kutipan pecah panggung sebanyak RM7.5 juta dan diikuti Congkak sebanyak RM5 juta.
Kini MIG tampil dengan filem ke-34 terbitannya juga genre seram iaitu Santau.
Seperti filem MIG sebelumnya pengurusan MIG terutama penerbitnya, David Teo menaruh harapan tinggi kepada filem ini yang disifatkan mampu menarik penonton menyaksikannya di pawagam.
Apatah lagi judul Santau cukup dekat dengan masyarakat Melayu yang kebanyakannya menguasai jumlah pembeli tiket wayang.
Menyebut mengenai Santau pelbagai perkara bermain di fikiran setiap individu.
Ada antara kita yang pernah melalui pengalaman getir akibat santau. Malah, ada pula yang menganggap ilmu hitam itu masih menjadi amalan sesetengah individu pada dunia yang serba moden ini.
Menjadikan ia sebagai pengajaran kepada penonton, Azhari Muhammad Zain diberikan tanggungjawab mengarahkan filem seram yang membariskan lakonan Esma Danial, pendatang baru lakonan, Putri Mardiana, Mariani, Zul Handy Black, adik Farisya Fatin, Riezman Khuzaimi, Bob Lokman, Hafidzuddin Fadzil dan Hisham Ahmad Tajuddin.
Ketika kunjungan Rap dan jurugambar, Amirudin Sahib, kru produksi MIG sedang menyiapkan babak ke-27 penggambaran filem berkenaan.
Malah, Azhari atau lebih mesra disapa Abang Z, mengetuai bacaan doa sebelum memulakan penggambaran pada malam itu.
Kru produksi yang berkampung di banglo Bukit Tengku, Jalan Johor Selatan Off Jalan Travers, Kuala Lumpur yang dihias ala rumah usang dan seram turut bersembahyang berjemaah dan membaca surah Yasin beramai-ramai disamping mengambil keberkatan malam Jumaat pada hari itu.
Azhari ketika ditemui berkata Santau cukup dekat dengan masyarakat terutama golongan Melayu kerana kebanyakan daripada mereka sudah mengetahui mengenainya.
Begitupun untuk menjadikan ia lebih menarik beberapa elemen menyeramkan dan menjijikkan perlu digarap sebaik mungkin.
"Tidak dinafikan ramai yang pernah mendengar mengenai Santau.
"Menerusi filem ini saya harap ia dapat memberi pengajaran berguna kepada semua pihak. Santau merangkumi pelbagai aspek melalui angin, makanan dan jelmaan.
"Menerusi medium itu kami menjadikan cerita ini lebih menarik biarpun berkisar kepada sebuah keluarga yang kecil.
"Cerita ini berkisar kepada kisah yang benar-benar berlaku. Justeru kami cuba menjadikan filem ini dengan konsep yang paling menyeramkan dan menjijikkan.
"Begitupun, saya bersyukur kerana sepanjang penggambaran tiada perkara yang negatif berlaku. Bahkan, semua kru termasuk pelakon memberi komitmen yang tinggi ketika penggambaran," katanya.
Apabila pihak MIG menawarkan Azhari untuk mengarah filem terbabit, dia menganggap ia sebagai cabaran yang cukup besar. Malah, menyifatkan MIG sudah mempunyai reputasi dan tahap tersendiri.
Azhari berharap filem berkenaan dapat mencapai tahap yang sepatutnya.
FILEM SANTAU
PROFIL
FILEM: Santau
TERBITAN: MIG Production Sdn Bhd
PENERBIT: David Teo
PENGARAH: Azhari Muhammad Zain
PENOLONG PENGARAH I: Mohd Faizal Abdul Malik
KESINAMBUNGAN: Yuzai Dania
PENGURUS PRODUKSI: Lazizah Ahmad
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Intan Salwani
PENGARAH SENI: Ahmad Rusli Mohd Khadri
PENOLONG PENGARAH SENI 1: Izhar Abd Karim
PENOLONG PENGARAH SENI 2: NorFaizal Abd Malik
JURUKAMERA: Indra Che Muda
PROP MAN: Yusni Hamidi Abd Hamid
SOLEKAN DAN PAKAIAN: Zarina Abu Sidik
TEKNIK KHAS: Ella Sandea
HANDY MAN: Samsul Bahari Sanusi
THE MAKING OF: Mohd Ikhram Izzazuddin Zainuddin
JURUGEGAS: Abdul Aziz Sanusi
PELAKON: Esma Danial (Halim), Putri Mardiana (Nina), Zul Handy Black (Man), adik Farisya Fatin (Tuty), Riezman Khuzaimi (Usin), Mariani (Nenek Tua), Bob Lokman (Bomoh), Hafidzuddin Fadzil (Imam) dan Hisham Ahmad Tajuddin (bapa Halim).
MIG Production Sdn. Bhd.
Jangan Pandang Belakang
David Teo
Azhari Mohd Zain
Esma Danial
Mariani
Zul Handyblack
Riezman Khuzaimi
Bob Lokman
Hisham Ahmad Tajudin