![]() |
PENGARAH dan penerbit bersama filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM), Aminah Rhapor menerima dengan tenang kritikan pelakon utama, Nabil Ahmad, yang mengatakan filem terbabit gagal memaparkan cerita dengan sebaiknya, kurang jelas hala tuju serta disulam babak sedih yang dibimbangi akan mengelirukan peminat.
Bagi Aminah, dia tidak terkesan dengan kritikan berkenaan kerana bukan hanya percaya kepada produk yang dihasilkan, malah pada pendekatan rentak pantas yang diketengahkan menerusi filem berkenaan. Menurutnya, sebagai pengarah, dia cukup memahami genre yang ingin dipersembahkan kepada penonton. Bukan semata-mata komedi, sebaliknya LPSdM menampilkan pembaharuan apabila babaknya dihidang dalam bentuk lebih cepat.
"Apabila filem itu dihasilkan dengan gaya lebih pantas, saya buang perkara remeh temeh yang mampu membuat cerita itu meleret. Penonton yang sudah menonton filem ini ketika kami membawanya menjelajah universiti, turut menggemari cara persembahan pantas sebegini. "Oleh kerana filem ini bergerak pantas, maka apabila keluar dari pawagam, Nabil tentunya tidak faham," katanya ketika dihubungi Ahad lalu. Mengambil sikap untuk mengelakkan suasana daripada bertambah panas, pengarah ini menjelaskan, seandainya Nabil tidak dapat menerima filem berkenaan, itu adalah haknya. Nabil meluahkan rasa tidak puas hatinya pada filem kedua lakonannya itu sebaik saja tamat majlis tayangan eksklusif LPSdM di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Antara luahannya juga, dia bimbang jika peminat akan tertipu dengan filem terbabit yang menggunakan tagline popularnya sebagai judul, sedangkan filem itu sendiri dikatakan gagal menonjolkan gambaran sebenar dirinya. "Mungkin Nabil inginkan sebuah filem yang membuatkan penonton ketawa sampai ke akhir. Saya pula perlu mencari formula berbeza daripada apa disaksikan di televisyen. Jika penonton ingin ketawa sampai ke sudah, mereka boleh menontonnya di TV. "Mengenai babak menangis pula, Nabil sudah tahu mengenainya ketika dia membaca skrip dulu," jelas Aminah yang mempersoalkan mengapa baru kini pelakon komedi itu ingin meluahkan ketidakpuasan hatinya mengenai babak sedih terbabit.
![]() |
| LU PIKIRLAH SENDIRI DE MOVIE menampilkan gandingan Nabil dan Puteri Sarah Liyana. |
Katanya, bagi memberikan kepuasan kepada penonton, dia lebih suka menghidangkan filem yang membuatkan mereka ketawa, kemudian menangis, seterusnya kembali ketawa pada penamatnya. "LPSdM sebuah filem yang nyata berbeza. Saya tidak mahu ia sama saja dengan persembahan di televisyen," ujarnya. Pada ketika Nabil mengatakan lakonannya kurang memuaskan hati, pengarahnya mempunyai pandangan berbeza kerana dia sendiri amat menyukai lakonan juara Raja Lawak musim kedua itu, yang dianggap begitu jujur.
"Saya seorang guru lakonan, jadi saya sedar lakonan yang jujur dan sebaliknya. Nabil seorang pelakon yang mampu memberikan lakonan jujur. Saya menyukai gaya lakonannya itu dan sampai ke bila-bila pun, saya akan menggemarinya. Saya tidak menipu diri sendiri. Jika saya menyukai sesuatu lakonan, saya akan menyukainya sampai bila-bila," kata Aminah yang menganggap segala kontroversi yang melanda umpama publisiti buat filem sulung arahannya. Mengenai larangannya buat pelakon utama filem itu, Nabil dan Puteri Sarah Liyana, membawa kekasih ke majlis membabitkan filem berkenaan, Aminah menegaskan, ia amalan biasa yang pernah dipraktikkan beberapa pihak.
Katanya, mengikut kontrak, seseorang produser berhak untuk menentukan apa yang perlu dilakukan seseorang pelakon filem terbitannya. Dalam pada itu, Aminah mengakui kebimbangannya terhadap populariti Nabil yang agak menurun. Apabila bercinta pula, katanya, sebahagian peminat fanatik kurang menyenangi keadaan itu. Justeru, bagi mengelakkan lebih banyak cerita peribadi dibicarakan, dia meminta kedua-dua pelakon utamanya tidak membawa teman istimewa masing-masing ke majlis LPSdM.
"Saya memuji Nabil kerana dia menurut nasihat kami. Tengoklah, apabila pelakon membawa teman lelaki ke majlis itu, lain pula jadinya (merujuk kepada gosip Sarah dan Ammar Alfian yang bergaduh pada majlis tayangan filem berkenaan). Lagipun, buat apalah hendak bawa kekasih ke merata tempat atau majlis? Yang berlakon adalah dia, bukannya si kekasih," ujar Aminah. LPSdM yang diterbitkan SDAF Pictures memasuki pawagam seluruh negara pada 11 Februari. Selain daripada Nabil dan Sarah, ia turut dilakonkan Mila, Meet Uncle Hussain, Zizan, Tasya, Ummi Nazeera, Zaibo, Qazem Nor, Ebby Yus, Liza Othman, Harun Salim Bachik dan Vanida Imran. Filem itu juga menampilkan bintang undangan seperti Amy Search, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad dan Aziz M Osman.